SYDNEY – Kisah legenda popular tempatan pernah menceritakan suatu ketika dahulu dua ekor anjing bersaing dalam pertandingan berenang dan akhirnya seekor daripada mereka berjaya tiba awal di garisan penamat dengan penuh bergaya.
Manakala seekor anjing lagi yang kalah berasa amat marah kerana walaupun ia teruk berlatih setiap hari, namun lawannya yang langsung tidak pernah membuat apa-apa latihan itu pula menang dengan aksi bersahaja tanpa masalah besar.
Melihat anjing tersebut sedih kerana gagal dalam pertandingan renang itu, pesaingnya hanya mampu tersengih dan dengan rasa bangga menjelaskan ia memang dijangka mampu menang kerana ia secara kebetulan adalah seekor anjing laut!
Itu cerita anjing laut handal berenang tetapi lain pula berlaku apabila haiwan tersebut dilaporkan media Australia sebagai selamba baring berjemur di bahu jalan raya yang sibuk di negeri Tasmania, sebuah pulau besar di tenggara negara berkenaan.
Tindakan prihatin seorang pemandu kenderaan segera menghubungi pihak polis berjaya membawa haiwan tersebut yang masih leka ‘berkelah’ dan mengeringkan tubuhnya disinari sang suria akhirnya kembali ke tempat asal-usulnya iaitu di tepi laut.
BACA: Akibat Tekanan Cuaca Panas, Anjing Laut Rogol Penguin
Kejadian dilaporkan pukul 3.30 petang (1.30 petang waktu Malaysia) pada Jumaat apabila ramai pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan mereka demi mengelak terlanggar mamalia itu dekat jalan tol East Tamar, Launceston di pulau itu.
Polis tempatan yang tiba kemudian membuat lencongan ke persimpangan Jalan Mowbray sementara menunggu petugas agensi taman negara Australia ‘memujuk’ anjing laut dewasa itu agar pulang ke habitat asal yang lebih dingin suasananya.
“Ada laporan mengatakan anjing laut ini luka di badan, namun selepas diperiksa pegawai hidupan liar, mereka mengesahkan mamalia itu tiada mengalami apa-apa kecederaan fizikal,” kata pegawai polis, Inspektor Michael Johnstone.
Beliau mendakwa, ini bukan kes kali pertama anjing laut ‘nakal’ berjemur di jalan raya bahkan pernah beberapa kali sekumpulan haiwan itu ‘berkelah’ santai di tepi laluan berkenaan sebelum diusir ke kawasan lebih selamat.
Launceston, bandar raya kedua terbesar di Tasmania selepas ibu negerinya, Hobart manakala pulau itu ke-26 terbesar di dunia dan menjadi pangkalan hadapan untuk misi penyelidikan saintifik ke benua Antartika yang terletak berjiran. – Agensi